Pengguna resah gangguan bekalan air di KL, Selangor Dan Tempoh Ganguan..

KUALA LUMPUR: Penduduk di beberapa kawasan sekitar ibu negara dan Selangor resah berikutan gangguan bekalan air mulai hari ini hingga Jumaat namun membuat persiapan untuk menghadapi situasi itu.

TEMPOH GANGGUAN BEKALAN AIR MENGIKUT WILAYAH

Petaling: 8 pagi (06/03/2018) hingga 9 malam (07/03/2018)

Klang/Shah Alam: 8 pagi (06/03/2018) hingga 9 pagi (09/03/2018)

Gombak: 8 pagi (06/03/2018) hingga 12 tengah malam (08/03/2018)

Kuala Lumpur: 8 pagi (06/03/2018) hingga 9 malam (08/03/2018)

Kuala Langat: 8 pagi (06/03/2018) hingga 3 petang (07/03/2018)

Hulu Selangor: 8 pagi (06/03/2018) hingga 9 malam (07/03/2018)

 

Eksekutif pemasaran Zuraida Ismail, 29, yang tinggal di Pangsapuri Bandar Sri Permaisuri, Cheras berkata beliau terpaksa membeli tong besar untuk menyimpan air secukupnya bagi kegunaan lima anggota keluarga termasuk ibu bapanya.

“Saya pula tidak dapat cuti untuk membantu kedua-dua orang tua saya mengambil bekalan air memandangkan ‘short notice’ yang kami terima,” katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Katanya beliau hanya menyedari makluman gangguan bekalan air itu yang ditampal di papan kenyataan dan di dalam lif sejak dua hari lalu oleh pengurusan perumahan di kediamannya.

Penghuni Pangsapuri Pandan Utama, di sini, Abdul Nasir Lazim, 56, berkata tangki besar di kediamannya itu hanya mampu menampung bekalan air selama 24 jam untuk 216 unit rumah di kawasan terbabit.

“Jika keadaan berlanjutan dari tempoh tersebut, kami terpaksa menyimpan bekalan air menggunakan tong besar dan botol-botol air untuk keperluan,” kata pemandu teksi yang tinggal bersama isteri dan lima anak.

Sementara itu, penghuni Flat PPR Hiliran, Ampang, Norkamsiah Alias, 58, berkata beliau menyimpan sekurang-kurangnya enam tong besar untuk menampung keperluan keluarganya seramai empat orang.

Beliau berkata persediaan awal perlu dilakukan memandangkan keluarganya tinggal di tingkat lapan bangunan 17 tingkat itu.

Sementara itu, pekerja syarikat swasta Lyn Ahmad, 44, yang tinggal di tingkat dua flat itu berkata beliau amat bersimpati bagi penghuni yang tinggal di tingkat atas terutama warga emas.

“Paling terjejas sekali penduduk yang tinggal di tingkat paling atas sebab mereka terpaksa turun ke bawah untuk mengambil air dan menyebabkan air melimpah di dalam lif,” katanya.

Masalah gangguan itu melibatkan Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *